Hutan itu asalnya memang hutan belantara. Segala-galanya ada di situ. Jadi penghuni M'pire Beruk tidak perlu berjalan jauh untuk dapatkan makanan; capai saja di kiri kanan denai laluan. Tetapi itu semua memori buat M'pire Beruk. Hutan hijau kini dibelah oleh sebatang jalan lurus. Betul-betul di tengah kawasan lapang yang reduh dan menjadi tempat mereka bersidang setiap petang. Mulanya ada yang menentang besi-besi berwarna kuning yang menyondol tanah-tanah subur dan menumbang pohon-pohon hijau. Beberapa ekor beruk cuba menjadi pahlawan dan menyerang jentera berat yang mengaum. Namun perbuatan mereka sia-sia kerana akhirnya mereka gugur dilenyek roda besi jentera tanpa sempat bersuara." Lari! Jauhi benda itu!!!" Jerit BerukBapak setelah melihat beberapa ekor pahlawan mereka mati katak. Sebenarnya dia mati akal apabila melihat keadaan yang tidak disangka-sangkakan itu. Semalam, dialah pemberi semangat dan pembuat keputusan. Jentera berwarna kuning itu harus diserang. Serang dari kiri dan kanan; atas dan bawah. Kini dia terpaksa memberi arahan supaya pahlawannya segera berundur. Belum pernah dia membuat keputusan begitu. Keputusan dan arahan yang bakal menggugat kedudukannya sebagai ketua di M'pire Beruk.
Koloni M'pire terpaksa mengalah dan mereka berundur. Kini tanpa diduga, jalan lurus dua lorong itu adalah sumber rezeki mereka. Memang benar kematian pahlawan mereka dulu sudah berbayar! Mudah benar untuk dapatkan makanan di jalan lurus bertar itu. Sama seperti yang mereka lakukan sewaktu melalui denai dulu.
"Dua lagi mati!" Suara CacaiBeruk tersekat-sekat. Ketika itu BerukBapak sedang bersantai di perdu meranti separuh reput. Tersentak!
"Aku sudah beri amaran jangan dekati kawasan itu! Mereka ingkar!" Suara BerukBapak kuat hingga tersentak anak-anak beruk yang sedang enak tidur.
"Cepat!"
BerukBapak segera bingkas. Dia sempat menyentap ranting kering. M'pire Beruk ditimpa bala!